AHB Umum 5.0 Sen Agihan Pendapatan Bagi Tahun 2023

SHAH ALAM, 5 OCTOBER 2023 - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan akhir dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.5 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2023.

Jumlah ini hasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.25 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.25 sen seunit. Jumlah bonus yang diberikan ini sumbangan daripada PHB, penaja dana AHB dan pengagihan adalah terhad kepada 500,000 unit pertama untuk setiap pemegang unit.

Pada April 2023, PHB dan MAM telah mengumumkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 2.20 sen seunit berserta pengagihan bonus sebanyak 0.30 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2023. Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan AHB bagi tahun 2023 sebanyak 5.0 sen seunit bersamaan dengan 5 peratus setahun dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM215 juta untuk tempoh 12 bulan berakhir 30 September 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, "Kami percaya pembayaran dividen ini adalah bukti keupayaan kami untuk menggerakkan landskap kewangan yang sentiasa berubah dan memberikan pulangan yang konsisten kepada pelabur unit AHB. Kami kekal komited untuk mengurus portfolio hartanah AHB dengan teliti dan melaksanakan strategi bertujuan meningkatkan prestasinya. Ini termasuk meyepadukan penyelesaian kewangan berinovasi di dalam AHB, membentuk hubungan strategik untuk meluaskan jalinan pengedaran dan memanfaatkan aktiviti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mencipta nilai holistik. Pencapaian AHB adalah dedikasi PHB untuk membantu pemegang unit dalam menjana kekayaan melalui pemilikan langsung aset hartanah berkualiti.

Mohamad Damshal berkata lagi, “PHB sedang aktif untuk melaksanakan matlamat ESG melalui pelbagai inisiatif ke arah sasaran karbon sifar bersih. Antara usaha hijau PHB adalah mengoptimumkan kegunaan tenaga kami di dalam pengoperasian bangunan. Syarikat kini telah memperolehi pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) untuk beberapa aset dengan Penarafan Emas. Sasaran kami adalah untuk mempunyai sekurang-kurangnya separuh daripada aset mendapat pematuhan Bangunan Hijau menjelang 2030.”

AHB akan membayar sejumlah RM112 juta kepada kira-kira 73,000 pemegang unitnya. Pendapatan yang diterima oleh pemegang unit tidak hanya dikecualikan daripada cukai, tetapi ia juga telah dizakatkan. Pengagihan pendapatan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank atau akaun unit amanah AHB pada 13 Oktober 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmed Muzni Mohamed berkata, “Aktiviti ekonomi kini sedang berkembang secara sederhana, rakyat Malaysia terutamanya golongan muda perlu mula menyimpan dan melabur awal di AHB. Ini bagi mempersiapkan mereka untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang seperti mempertingkatkan keupayaan kewangan dan memastikan keselamatan persaraan mereka.”

PHB adalah anak syarikat tunggal kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB), sebuah institusi amanah yang bernaung di bawah bidang kuasa Kerajaan Malaysia. AHB dengan harga tetap RM1.00 seunit, adalah sebuah dana amanah berlandaskan hartanah yang patuh Syariah. Ia melabur terutamanya dalam pemilikan benifisial hartanah komersial di lokasi utama di Malaysia dengan matlamat menyediakan pulangan yang kompetitif dan aliran pendapatan yang konsisten serta mengekalkan modal pelaburan pelabur Bumiputera.

Pelaburan permulaan minimum bagi pelabur individu adalah RM100 dan pelaburan tambahan sekurang-kurangnya RM50, manakala pelaburan maksimum adalah RM500,000 bagi pelabur individu. Dana ini boleh dilanggan di semua cawangan Maybank, AmBank, AmBank Islamic dan Bank Islam di seluruh negara. Individu yang berminat kini boleh membuka dan melanggan akaun AHB melalui laman web Maybank2u.

Posted October 6th, 2023 In Media Release 2023
SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

Level 6, Block E, Dataran PHB, Saujana Resort, Section U2, 40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

© 2024 Pelaburan Hartanah Berhad 200601013065 (732816-U). All Rights Reserved.
Ooops!
Generic Popup