AHB Umum Agihan Pendapatan Interim Sebanyak 2.50 Sen Bagi Tempoh Enam Bulan Berakhir 31 Mac 2023

Kuala Lumpur, 6 April 2023 - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan interim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.50 sen setiap unit bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 31 Mac 2023. Ini termasuk pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.20 sen setiap unit dan pengagihan bonus sebanyak 0.30 sen setiap unit bagi setiap pelabur yang berbaki sehingga 500,000 unit.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, "Sejak penubuhannya pada tahun 2006 hingga 2011, PHB telah memberi tumpuan dalam mengukuhkan asas bagi portfolio hartanah AHB melalui pembelian aset dan pembangunan hartanah. Portfolio AHB telah berkembang sekitar 12.7% setiap tahun daripada RM1.0 bilion pada tahun 2011 kepada RM3.85 bilion pada tahun kewangan berakhir September 2022. Bagi melonjakkan lagi momentum pertumbuhan, PHB merancang untuk memberi tumpuan kepada pelaburan dalam aset berkualiti dan berpendapatan tinggi, yang mampu menjana pulangan pasaran yang mampan serta kompetitif untuk para pelabur."

Ahmed Muzni Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif MAM, berkata, "Sebagai Pengurus AHB, ia amat mengujakan untuk melihat bahawa walaupun pendapatan isi rumah pelabur terjejas oleh persekitaran inflasi semasa, langganan unit AHB tetap memberangsangkan. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa pelabur mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap AHB dan mengiktiraf kepentingannya dalam portfolio pelaburan dan proses perancangan kewangan mereka. Pengagihan pendapatan interim ini menunjukkan ciri kestabilan AHB, yang kami harap dapat menarik lebih ramai pelabur."

PHB juga dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) sebagai salah satu pengedar AHB yang baharu. Pelantikan Bank Islam adalah sebahagian daripada usaha berterusan PHB dan MAM untuk memperluaskan saluran pengedaran AHB dan mencapai pelbagai segmen pasaran dan pelabur yang lebih luas. "Kami amat mengalu-alukan penyertaan Bank Islam sebagai pengedar baharu kami," kata Mohamad Damshal. "Kepakaran, jangkauan pasaran yang luas, dan komitmen terhadap perkhidmatan pelanggan menjadikan Bank Islam rakan niaga penting untuk kami. Pelantikan ini membuktikan komitmen kami dalam menyediakan akses mudah kepada produk dan perkhidmatan pelaburan berkualiti tinggi untuk para pelabur AHB."

Bagi agihan pendapatan interim pada kali ini, AHB akan membayar sejumlah RM110.3 juta kepada 72,000 pemegang unitnya. Pendapatan yang diterima oleh pemegang unit tidak hanya dikecualikan dari cukai, tetapi ia juga telah dizakatkan. Pengagihan pendapatan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank atau akaun unit amanah AHB pada 14 April 2023.

PHB adalah sebuah anak syarikat tunggal kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, sebuah institusi amanah yang bernaung dibawah bidang kuasa Kerajaan Malaysia. AHB dengan harga tetap RM1.00 seunit, adalah sebuah dana amanah berlandaskan hartanah yang patuh Syariah. Ia melabur terutamanya dalam pemilikan benifisial hartanah komersial di lokasi utama di Malaysia dengan matlamat menyediakan pulangan yang kompetitif dan aliran pendapatan yang konsisten serta mengekalkan modal pelaburan pelabur Bumiputera. Pelaburan permulaan minimum bagi pelabur individu adalah RM100 dan pelaburan tambahan sekurang-kurangnya RM50. Dana ini boleh dilanggan di semua cawangan Maybank, AmBank, AmBank Islamic dan Bank Islam di seluruh negara.

Posted April 6th, 2023 In Media Release 2023
Siaran Media
Untuk Siaran Segera

Level 6, Block E, Dataran PHB, Saujana Resort, Section U2, 40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

© 2024 Pelaburan Hartanah Berhad 200601013065 (732816-U). All Rights Reserved.
Ooops!
Generic Popup