Kampung Palu-Palu Dipilih Kampung Angkat PHB Di Bawah Program Santuni MADANI

KOTA KINABALU, 24 FEBRUARI 2025:

Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), sebuah syarikat pelaburan hartanah dan anak syarikat Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) hari ini menganjurkan Majlis Pelancaran Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Kampung Palu-Palu, Kuala Penyu di sini.

PHB telah memilih Kampung Palu-Palu, Kuala Penyu, sebagai kampung angkatnya di bawah Program Santuni MADANI kerana ia sinonim dengan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit, yang merupakan anak jati kampung berkenaan.

Melalui penganjuran program tersebut, PHB dapat menyantuni penduduk kampung dengan menumpukan kepada aspek pembangunan pendidikan dan sosioekonomi.

“PHB komited untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup penduduk kampung melalui program pendidikan. Sebagai permulaan program, PHB memperuntukkan bantuan pendidikan bernilai RM50,000 yang terdiri daripada bantuan kelas tambahan bagi subjek teras kepada lebih 50 pelajar dan kelas pengajian Al-Quran kepada 43 orang terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa di sekitar Kampung Palu-Palu.

“Inisiatif program kelas tambahan memberi fokus kepada mata pelajaran seperti Bahasa Malaysia; Bahasa Inggeris; Matematik dan Sejarah bagi pelajar tahun enam, calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Selain itu, bantuan ini juga akan disalurkan kepada kelas mengaji Al- Quran untuk kanak-kanak dan golongan dewasa, bagi memperkukuhkan pemahaman terhadap Al-Quran,” kata Mohamad Damshal semasa Majlis Pelancaran Program Santuni MADANI yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kampung Palu-Palu.

Sementara itu, Mohamad Damshal berkata, Program Santuni MADANI adalah usaha jangka panjang, di mana PHB akan terus memberikan komitmen untuk terlibat secara langsung dalam libat urus bersama komuniti kampung bagi menangani isu sosioekonomi seperti keciciran pendidikan bagi memastikan generasi muda mendapat peluang pendidikan yang baik kerana pendidikan merupakan kunci untuk meningkatkan sosioekonomi individu.

“Santuni MADANI, yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertujuan memperkasa potensi kampung dan meningkatkan keupayaan masyarakat. Inisiatif ini membabitkan libat urus berterusan antara pemimpin dari GLC, GLIC dan agensi kerajaan bagi memahami isu setempat serta menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk. Secara tidak langsung, pemimpin dapat beri semula kepada rakyat melalui inisaitif yang dilaksanakan ini.

“PHB berharap usaha ini dapat membawa perubahan positif kepada Kampung Palu-Palu dan menjadi contoh bagi kampung-kampung lain dalam merealisasikan visi Malaysia MADANI," katanya




Posted 24 February 2025 in Media Release 2025

Level 6, Block E, Dataran PHB, Saujana Resort, Section U2, 40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

© 2025 Pelaburan Hartanah Berhad 200601013065 (732816-U). All Rights Reserved.
Ooops!
Generic Popup2