PHB Meterai Kerjasama Strategik Perkasa Vendor Bumiputera
SHAH ALAM, 3 November 2026: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) memeterai kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) bagi memperkasa pembangunan vendor Bumiputera menerusi Program Pembangunan Vendor Bumiputera PHB.

Kerjasama itu bertujuan membangunkan ekosistem vendor yang lebih menyeluruh melalui sokongan pembangunan kapasiti, akses kepada pembiayaan dan pasaran, bimbingan perniagaan serta pengukuhan daya saing bagi melahirkan vendor Bumiputera yang berdaya tahan, mampan dan mampu berkembang ke tahap lebih tinggi.

Menerusi program itu, PHB turut memainkan peranan sebagai syarikat peneraju (anchor company) di bawah Program Pembangunan Vendor KUSKOP, selaras dengan usaha memperluas penyertaan usahawan Bumiputera dalam rantaian bekalan dan sektor industri strategik negara.

Majlis pemeteraian itu menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PHB dengan KUSKOP, Memorandum Kerjasama (MoC) antara PHB dengan PUNB serta Surat Hasrat antara PHB dengan CGC pada 2 November 2026.

Usahasama bersama KUSKOP akan memberi tumpuan kepada pemudahcaraan program dan peluasan jaringan strategik bagi memperkukuh pembangunan vendor.

Sementara itu, kerjasama dengan PUNB akan memfokuskan kepada kemudahan pembiayaan, pembangunan kapasiti perniagaan untuk meningkatkan keupayaan usahawan serta memperkukuh daya tahan dan daya saing vendor. Manakala, kerjasama dengan CGC pula akan membantu memudahkan akses kepada penyelesaian pembiayaan dan sokongan pembangunan perniagaan bagi menyokong pertumbuhan mereka.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin serta Ketua Pegawai Perniagaan CGC, Sean Tan. Manakala PHB diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Mazuki Abdullah @ Muhammad.
 
Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah @ Muhammad, berkata “Pembangunan ekonomi Bumiputera yang mampan memerlukan sinergi antara kerajaan, sektor korporat dan komuniti usahawan bagi memastikan peluang pertumbuhan dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat membantu melahirkan lebih ramai vendor Bumiputera yang berdaya tahan, kompetitif dan bersedia merebut peluang pertumbuhan baharu,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu turut menyokong aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) dalam membangunkan ekosistem ekonomi Bumiputera yang inklusif, bernilai tinggi dan mampan.

Program berkenaan turut menekankan peningkatan kompetensi perniagaan, pengukuhan keupayaan operasi, pendigitalan, penggunaan teknologi dan amalan tadbir urus yang baik serta prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan vendor yang dibangunkan mampu memenuhi keperluan perniagaan semasa dan berkembang secara mampan.

Posted on 29 October 2026

Level 6, Block E, Dataran PHB, Saujana Resort, Section U2, 40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

© 2026 Pelaburan Hartanah Berhad 200601013065 (732816-U). All Rights Reserved.
Ooops!
Generic Popup2