PHB rai 47 anak yatim sempena cuti sekolah

PETALING JAYA, 22 FEBRUARI 2024: Seramai 47 anak yatim dari Rumah Amal Al- Firdaus diraikan di dalam program Waves of Joy di taman tema Sunway Lagoon, anjuran Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) sempena cuti penggal persekolahan, di sini, hari ini. 

Kesemua anak yatim yang berusia dari lingkungan tiga hingga enam tahun itu diraikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang tedapat di dalam taman tema itu seperti aktiviti air dan jelajah wildlife park. 

Kemuncak program itu turut diserikan dengan pemberian kelengkapan persekolahan seperti buku mewarna, peralatan menulis, pensel warna dan lain-lain bagi persediaan persekolahan sesi 2024 yang akan bermula pada Mac depan.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, “Program kemasyarakatan ini adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat PHB untuk menyantuni anak-anak yatim selain memupuk nilai murni dan keprihatinan, kasih sayang, kesyukuran dan jalinan antara warga kerja PHB bersama golongan yang kurang bernasib baik.”

“Selain itu, aktiviti ini juga adalah usaha PHB dalam memacu pertumbuhan ekonomi dengan memastikan amalan terbaik alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dilaksanakan bagi memanfaatkan komuniti tempatan, rakan perniagaan, pelabur dan warga kerja syarikat,” katanya. 

Rumah Amal Al- Firdaus terletak di Shah Alam memberi perlindungan kepada kanak-kanak berusia bawah enam tahun yang terdiri daripada anak-anak yatim, asnaf dan anak-anak yang ditinggalkan.

Sementara itu, PHB yang ditubuhkan pada 8 Mei 2006 merupakan sebuah syarikat pelaburan hartanah yang telah diberi mandat oleh kerajaan untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di Malaysia. Komponen utama dalam misinya ialah pengurusan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), iaitu sebuah dana unit amanah patuh syariah yang berfungsi sebagai medium penyampaian dalam tujuan tersebut.


Posted February 22, 2024 In Media Release 2024

Level 6, Block E, Dataran PHB, Saujana Resort, Section U2, 40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

© 2024 Pelaburan Hartanah Berhad 200601013065 (732816-U). All Rights Reserved.
Ooops!
Generic Popup