SHAH ALAM, 26 MAC 2025:
Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), syarikat di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), dengan kerjasama jenama fesyen tempatan Bayu Somerset meneruskan khidmat tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyumbang baju raya baharu kepada 144 kanak-kanak dari Buku Jalanan Chow Kit (BJCK).
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit, berkata sumbangan ini sebahagian daripada usaha PHB dalam memastikan kanak-kanak BJCK dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan.
“Kami percaya setiap kanak-kanak berhak merasai keceriaan Aidilfitri melalui sumbangan pakaian baharu ini, kami berharap ia dapat membawa kegembiraan dan membangkitkan semangat mereka untuk menyambut Syawal,” katanya.
Tambah beliau, hubungan PHB dengan BJCK bukanlah sesuatu yang baharu, pada Disember lalu, PHB turut menyalurkan sumbangan untuk menaik taraf bumbung bangunan BJCK bagi memastikan kanak-kanak di sana mendapat pendidikan dalam persekitaran yang lebih selamat dan selesa.
“Kami prihatin dengan nasib kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan awam mahupun swasta di Malaysia dan terpaksa mengharungi hari-hari mereka dengan ketidaktentuan di tengah-tengah ibu kota. Bantuan yang diberikan ini merupakan salah satu usaha kecil PHB bagi menyumbang kembali kepada komuniti terutamanya dalam isu keciciran pendidikan.
Kanak-kanak BJCK diraikan semasa Majlis Berbuka Puasa Kasih Ramadan, Cahaya Lebaran bersama BJCK yang diadakan di ibu pejabat PHB di sini, majlis turut diserikan dengan kuiz interaktif dan tazkirah Ramadan. Majlis turut dihadiri pengurusan tertinggi PHB, Timbalan pengarah Eksekutif BJCK, Afiq Rodzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bayu Somerset, Emir Fauzi.
BJCK merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menyediakan akses kepada pendidikan asas bagi kanak-kanak bukan warganegara serta mereka yang tidak dapat bersekolah akibat isu dokumentasi. Beroperasi di Lorong Haji Taib 1, Chow Kit, BJCK berfungsi sepenuhnya menerusi sumbangan orang ramai dan badan korporat, sekali gus menjadi ruang selamat untuk kanak-kanak di kawasan tersebut menimba ilmu dalam persekitaran yang lebih terjamin.