PHB sedia juadah berbuka puasa kepada penghuni Rumah Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al Fattah

HULU LANGAT, 26 MAC 2024: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengukir senyuman di wajah 35 penghuni Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al Fattah apabila warga kerjanya bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa untuk warga emas di rumah itu melalui Program Senyuman Ramadan PHB.

Program Senyuman Ramadan PHB adalah usaha tanggungjawab sosial korporat PHB untuk menyantuni warga emas terpinggir dan terabai dari rumah Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al Fattah yang berusia dalam lingkungan 50 tahun ke 90 tahun. 

Pengurus Besar Kanan Jabatan Pelaburan PHB, Kamal Zainul, berkata, “Bersempena bulan yang penuh keberkatan ini, PHB menyantuni warga emas rumah ini yang dipinggirkan oleh ahli keluarga, kami juga ingin berkongsi rezeki bersama mereka dengan menyediakan juadah berbuka puasa dan membersihkan rumah ini supaya mereka lebih selesa.

“Bagi menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, kami menghadiahkan baju raya baharu kepada mereka. Selain itu, kami juga menghias kawasan kediaman bagi mewujudkan suasana kemeriahan Aidilitri. Kami berharap dengan usaha ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan warga emas di sini, ” katanya.

Menurut Kamal lagi, “PHB turut mengadakan kutipan amal di pejabat bagi menyumbang keperluan harian kepada penguhuni rumah ini, selain menghulurkan sumbangan bekalan makanan basah dan kering untuk meringankan bebanan kos rumah ini. 

“Kejayaan PHB yang dikecapi hari ini adalah sokongan daripada semua lapisan masyarakat, oleh itu, kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan dan kami komited menjalankan pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang boleh memberi impak positif, terutamanya kepada mereka yang kurang bernasib baik,” katanya lagi. 

Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al Fattah yang terletak di Semenyih adalah pusat penjagaan yang menyediakan pertolongan kepada warga emas dan membela nasib orang tua yang sakit terlantar.

Sementara itu, PHB yang ditubuhkan pada 8 Mei 2006 merupakan sebuah syarikat pelaburan hartanah yang telah diberi mandat oleh kerajaan untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di Malaysia. Komponen utama dalam misinya ialah pengurusan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), iaitu sebuah dana unit amanah patuh syariah yang berfungsi sebagai medium penyampaian dalam tujuan tersebut.

Posted March 26 , 2024 In Media Release 2024

Level 6, Block E, Dataran PHB, Saujana Resort, Section U2, 40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

© 2024 Pelaburan Hartanah Berhad 200601013065 (732816-U). All Rights Reserved.
Ooops!
Generic Popup