MEGA CSR DAY PHB MANFAAT LEBIH 5,700 MASYARAKAT MENERUSI EMPAT INISIATIF KOMUNITI
- Lebih 200 warga PHB turun padang secara serentak di empat lokasi di sekitar Lembah Klang.
- Lebih 5,700 penerima manfaat disantuni menerusi inisiatif berteraskan kesihatan, pendidikan, komuniti dan kelestarian alam sekitar.
- Lebih 1,000 jam khidmat sukarelawan disumbangkan dalam tempoh sehari.
KUALA LUMPUR, 5 September 2026: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), syarikat pelaburan hartanah di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), menggerakkan lebih 200 warga kerjanya menerusi
Mega CSR Day, dengan pelaksanaan program kemasyarakatan secara serentak di empat lokasi berbeza di Lembah Klang yang memberi manfaat kepada lebih 5,700 penerima pada 5 September lalu.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berlangsung selama sehari itu berteraskan empat tonggak utama iaitu kesihatan, pendidikan, komuniti dan alam sekitar, dengan warga PHB menyumbang lebih 1,000 jam khidmat sukarelawan bagi menjayakan pelbagai program yang memberi impak berpanjangan kepada masyarakat.
Di bawah tonggak pendidikan, sukarelawan PHB menyokong program Sekolah Dalam Hospital di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM.
PHB turut menyumbang papan interaktif pintar, sudut bacaan dan kit pembelajaran pendidikan, bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih menarik dan kondusif kepada kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan di hospital berkenaan.
Bagi tonggak kesihatan, PHB bekerjasama dengan Pusat Darah Negara dan Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dalam menganjurkan program derma darah dan saringan kesihatan komuniti di pusat beli-belah NU Empire.
Inisiatif itu bukan sahaja menggalakkan orang ramai menderma darah, malah menyediakan saringan kesihatan secara percuma bagi mengesan masalah kesihatan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan serta pencegahan.
Setiap pendermaan darah yang berjaya berpotensi menyelamatkan sehingga tiga nyawa, manakala pengesanan awal membolehkan intervensi dan rawatan sewajarnya diberikan dengan lebih cepat bagi penyakit tidak berjangkit.
Sementara itu, di bawah tonggak komuniti, sukarelawan PHB melaksanakan kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih bersih, selamat dan selesa untuk penghuninya.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen PHB dalam memperkasa ruang kehidupan seharian yang dapat memelihara keselamatan, keselesaan serta memupuk rasa kekitaan yang lebih kukuh dalam kalangan komuniti.
Dalam pada itu, sebagai komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar, sukarelawan PHB turut menyertai aktiviti pembersihan habitat di Zoo Negara Malaysia, yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan biodiversiti dan habitat hidupan liar.
Program berkenaan turut bertujuan meningkatkan kesedaran warga kerja terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar, di samping menyumbang kepada usaha melindungi khazanah alam semula jadi.
Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah @ Muhammad, berkata Mega CSR Day adalah pencapaian penting bagi syarikat sebagai inisiatif CSR berskala besar pertama yang dilaksanakan secara serentak di empat lokasi.
“Program ini mencerminkan keyakinan PHB bahawa penciptaan nilai secara mampan tidak hanya tertumpu kepada operasi perniagaan. Pada masa sama, kami kekal komited terhadap mandat untuk meningkatkan pemilikan dan penyertaan Bumiputera dalam sektor hartanah komersial utama menerusi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), kami juga komited untuk memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Semangat yang ditunjukkan warga kerja PHB dengan lebih 1,000 jam khidmat sukarelawan membuktikan kerjasama dalam mewujudkan impak positif dan berkekalan,”katanya.
Menurut Mazuki lagi, menerusi Mega CSR Day, PHB berharap ia dapat menyemarakkan lagi budaya kesukarelawanan dalam kalangan warga kerjanya, selain menyumbang kepada komuniti yang lebih sihat, peluang pendidikan yang lebih baik, persekitaran kehidupan yang lebih selesa serta kelestarian alam sekitar.
“Bagi PHB, kelestarian bukan sekadar aspirasi korporat, sebaliknya tanggungjawab bersama. Berteraskan prinsip People, Planet and Profit, kami akan terus melaksanakan inisiatif yang mampu mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang berkepentingan dan komuniti yang kami santuni,” katanya.
Mega CSR Day merupakan sebahagian daripada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) PHB yang lebih menyeluruh, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat untuk mengintegrasikan amalan perniagaan bertanggungjawab dengan penglibatan berimpak tinggi bersama masyarakat serta pemeliharaan alam sekitar dalam menyokong pembangunan negara yang mampan.